"Apabila timbul gosip yang kononnya saya bercinta dengan Johan As'ari, saya memang bimbang jika ada yang beranggapan saya cuba merampas teman lelaki seseorang, Maklumlah, sebelum ini Johan sudah umumkan dia akan melangsungkan pertunangan dalam tahun ini. Gambar yang tersebar di laman-laman sosial dan blog-blog hiburan itu sebenarnya diambil ketika saya menghadiri majlis rumah terbuka yang diadakan di rumah Johan.
"Kami memang sudah lama berkawan iaitu sejak tahun 2010 lagi. Bahkan, emak saya dan emak Johan juga berkawan baik. Tidak ada sebarang hubungan cinta antara saya dan Johan. Saya harap peminat di luar sana tidak salah faham," ujar Shila mengulas tentang gosip terbarunya itu.
Dalam masa yang sama, anak kepada N.D Lala ini juga menegaskan dia sudah tidak ada keinginan untuk mempunyai teman lelaki. Tumpuannya kini hanya kepada kerjaya seninya yang semakin melangkah jauh.
"Terus-terang saya katakan, saya sudah tidak ada keinginan untuk mempunyai teman lelaki buat masa ini. Hati saya belum terbuka untuk jadi teman wanita kepada seseorang. Seandainya jodoh saya sudah sampai, saya akan terima lelaki itu dengan seadanya dan saya akan berkahwin. Kalau hendak bercinta dan mempunyai teman lelaki, saya sudah tidak mahu. Saya pilih untuk fokus kepada kerjaya sahaja ketika ini. Saya juga tidak kisah siapa yang akan menjadi jodoh saya nanti," luah Shila lagi.
Dalam perkembangan terkini, Shila kini sibuk dengan persiapan untuk melancarkan album terbarunya. Kepulangannya ke Malaysia kali ini adalah bertujuan untuk menjalani penggambaran video muzik single terbarunya, 'Masih Aku Cinta' yang kini sedang rancak diputarkan di corong-corong radio.
"Selepas penggambaran video muzik ini saya akan berangkat ke China semula pada 7 September ini. Selepas selesaikan beberapa komitmen di sana, baru saya akan pualang semula ke sini untuk melancarkan album. Tidak dinafikan jadual kerja saya sekarang ini sangat padat. Biarpun penat, tetapi saya gembira dan puas kerana ini adalah minat saya," ujar Shila yang ditemui di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran Majalah Lisa pada Khamis.
No comments:
Post a Comment